Hero tua terajui Kahwin 5


KAHWIN 5 yang memaparkan isu poligami diberi klasifikasi tontonan untuk 18 tahun ke atas. Ia dibintangi oleh (dari kiri): Anzalna, Andrea, Usop Wilcha, (tengah) pengarah, Nizam Zakaria, Norish Karman dan Marsha.
JIKA melihat industri perfileman di luar negara terutamanya Hollywood, pemilihan pelakon yang sudah berusia merupakan satu perkara yang menjadi kebiasaan, malah ada di antaranya meraih bayaran yang agak tinggi dan lumayan.
Namun begitu, dalam industri perfileman di Malaysia kebanyakan penerbit atau pengarah dilihat lebih gemar memilih pelakon muda untuk memegang watak utama dalam sebuah filem.
Bagaimanapun, filem berjudul Kahwin 5 yang diterbitkan oleh Showbiz Productions telah mengambil pendekatan dengan memilih Usop Wilcha, seorang pelakon komedi yang kini berusia 47 tahun sebagai teraju utama.
Filem berkenaan mengisahkan seorang usahawan mangkuk plastik berjaya, Dr. K (Usop Wilcha) yang sudah memenuhi kuota empat isteri iaitu Saadiah (Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Milan Londoh).
Kehidupan Dr. K bersama keempat-empat orang isterinya bahagia, sehingga dia dipengaruhi Rahim (Fizz Fairuz) dan terjebak dengan skandal bersama Farra (Anzalna).
Pengarah filem tersebut, Nizam Zakaria yang ditemui sewaktu pelancaran filem berkenaan di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini menjelaskan sebenarnya tiada masalah besar untuk mengambil pelakon berusia membintangi filemnya itu.
“Pemilihan Usop Wilcha untuk memegang watak sebagai Dr. K dibuat kerana saya melihat dia sememangnya sesuai membawakan watak seorang lelaki yang beristeri empat selain karakter komedi yang dimilikinya.
“Selain itu dia juga seorang pelakon yang sangat kelakar dan mempunyai ramai peminat. Pada saya soal usia rasanya tidak timbul, namun ia tetap merupakan satu cabaran buat diri saya selaku pengarah,” ujarnya yang pernah mengarahkan filem Cinta Kura-Kura.
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai filem kedua terbitan Showbiz, pengarah berkenaan menyatakan Kahwin 5 merupakan sebuah naskhah yang lebih menjurus kepada isu poligami yang dipersembahkan dalam bentuk komedi.
Berinspirasikan kejayaan salah sebuah filem terkenal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul Madu 3, filem terbaharu arahannya itu tampil dengan sebuah kisah yang tidak sukar untuk difahami terutama dari sudut penceritaan.
Bagaimanapun, filem yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Disember ini hanya dapat ditonton oleh penonton yang berusia 18 tahun ke atas.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Nizam memberitahu dia sangat menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun tetap yakin filemnya itu akan mendapat sambutan yang baik.
“Saya sendiri kurang pasti apa yang menyebabkan Kahwin 5 diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, namun saya tidak berasa kecewa meskipun ia ditayangkan semasa musim cuti sekolah.

USOP WILCHA menjadi teraju utama filem Kahwin 5.
“Lagipun penceritaan filem ini lebih menjurus kepada penonton dewasa memandangkan temanya menjurus kepada isu poligami. Jadi, ia memang kurang sesuai untuk penonton kanak-kanak,” jelasnya.
Bagi Usop pula pemilihannya sebagai Dr. K dalam filem ini dianggap sebagai satu penghormatan memandangkan ia merupakan filem pertama dia dipilih memegang watak utama.
Ujarnya, dia menganggap pemilihannya sebagai watak utama lebih kepada satu eksperimen untuk membuktikan pelakon yang sudah berusia sepertinya masih mendapat tempat di hati peminat.
“Apabila bercakap soal usia, sebenarnya ia bergantung kepada cerita sesebuah filem itu sendiri. Misalnya untuk filem Kahwin 5 ini, mungkin penerbit melihat watak Dr. K ini lebih sesuai dibawakan oleh pelakon yang berusia seperti saya,” jelasnya.
Dialek negeri
Biarpun pihak media yang hadir tidak menonton keseluruhan filem tersebut dan sekadar berpeluang menonton di sebalik tabir pembikinan sahaja, salah satu yang cukup menarik apabila kebanyakan dialog menggunakan dialek bahasa beberapa buah negeri.
Pelakon Adrea Abdullah yang memegang watak sebagai Sahara dalam filem berkenaan mengakui bukan satu masalah yang besar buat dirinya yang terpaksa bercakap dalam bahasa Kelantan.
“Sebenarnya ibu dan bapa saya memang berasal dari negeri Kelantan, maka saya tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran kerana sudah biasa bercakap bahasa Kelantan dengan ahli keluarga.
“Pada masa yang sama ia turut memberi kepuasan kepada diri saya kerana dapat melontarkan dialog lebih kelakar dan dengan cara sebegitu ia mampu menghiburkan penonton yang menonton filem ini nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Marsha yang memegang watak sebagai Mimi dan merupakan isteri keempat Dr. K menyatakan dia perlu menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami oleh penonton.
“Seboleh-bolehnya saya cuba mengurangkan dialek Sabah ketika bercakap agar penonton dapat memahami setiap dialog yang disampaikan dan itu merupakan salah satu cabaran yang harus saya lalui sepanjang berlakon dalam filem ini,” ujarnya.

sumber

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s