UMNO tegar perjuang Islam, tentang pluralisme, liberalisme: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan Umno akan sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam dan menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendukung fahaman pluralisme mahupun liberalisme.

Presiden Umno berkata kedudukan Islam akan terus dipertahan seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan parti dan sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.

“Ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi bahawa Umno komited bagi terus mempertinggi Islam berteraskan maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.

“Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasi-basi lagi bahawa kita menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendukung fahaman pluralisme mahupun liberalisme,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden bertemakan ‘Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional’ sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, hari ini.

Berucap di hadapan 2,759 anggota perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Najib turut menolak keras dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno parti nasionalis yang sekular.

Menyifatkan tuduhan itu ‘amatlah tersasar’, Najib berkata selama ini Umnolah yang membolehkan Islam diamalkan sebagai cara hidup yang syumul di negara ini di sebalik kepelbagaian Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etik, budaya dan agama.

Najib berkata banyak telah dilakukan oleh Umno dalam memastikan kelangsungan Islam di negara ini yang menyaksikan syiar Islam bukan terbatas di bidang ibadah sahaja bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Katanya penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji membolehkan umat Islam menabung dan mengerjakan ibadah haji secara sistematik, khidmat perbankan dan kewangan Islam diperluas, malah Malaysia yang diiktiraf sebagai negara Islam contoh turut menyumbang kepada kesejahteraan di seluruh dunia menerusi pasukan pengaman, pemerhati dan perubatan yang dihantar ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afganistan.

Malaysia juga, katanya komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin, malah mungkin menjadi negara pertama membuka kedutaan di ibu kota Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.

“Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa,” katanya.

Sinis menempelak sikap pembangkang yang mendoakan kecelakaan Umno, Najib berkata Umno tidak rela untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam dan tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti yang dilakukan parti lawan.

“Jadi kita ingin berpesan cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu Umno dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru (Datuk Seri Hadi Awang)…Umno dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud,” katanya.

Kesan amanat pada 1981 itu menurut Najib bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi menanam benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam.

“Natijahnya muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang Umno,” katanya.

Bagaimanapun, kata Najib, di sebalik tohmahan dan propaganda jahat pembangkang yang diasak kepada Umno, perjuangan parti itu dalam memartabatkan Islam di Malaysia dan seantero dunia tetap menyinar dan dipersadakan.

Malah terbaru, Malaysia diletakkan di tempat kelima teratas dalam pematuhan Indeks Syariah Malaysia yang dikendali sekumpulan ulama antarabangsa, kata Najib. – BERNAMA

berita harian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s