Festival Filem Malaysia 25 Ditangguh Ke Tahun 2013

Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Naguib Razak hari ini memberitahu bahawa penganjuran Festival Filem Malaysia ke 25 yang dijadualkan pada 30 Disember hadapan terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan atas sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun tarikh muktamad belum ditetapkan.

“Buat masa ini kita belum menetapkan tarikh penganjuran.  Tetapi kemungkinan besar FFM25 akan dibawa ke bulan Januari atau Februari tahun hadapan.  Pihak kami (Finas) telah pun mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) baru-baru ini dan mereka telah meminta agar FFM 25 ditangguhkan ke tahun hadapan.

Saya difahamkan ramai penggiat industri ingin bercuti pada hujung tahun ini dan tarikh 30 Disember itu dirasakan kurang sesuai. Seboleh-bolehnya, saya memang mahu adakan acara ini pada hujung tahun ini, tetapi saya harus memikirkan pendapat pihak-pihak lain. Kita tidak mahu penganjuran menjadi hambar kerana ketiadaan sokongan penggiat industri,” ujar Naguib yang ditemui selepas sidang media Festival Filem Asia Pasifik Ke 55 pada Selasa.

Tambah Naguib lagi, secara peribadi beliau tidak melihat penangguhan  itu sebagai satu masalah kerana yakin ia perkara biasa dan turut terjadi kepada penganjuran anugerah antarabangsa yang lain seperti Academy Awards dan Golden Globe.

“Saya berfikiran terbuka tentang penangguhan ini. Jika dapat dianjurkan pada hujung tahun ini, ia akan mempunyai nilai-nilai sentimental di mana kita bolehkan mengimbas kembali pencapaian filem-filem tempatan pada sepanjang tahun ini. Jika dibawa ke tahun hadapan emosi pasti tidak sama. Namun, macam yang saya jelaskan tadi, saya harus pertimbangkan pandangan pihak lain. Objektif utama festival ini adalah untuk mengangkat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat industri perfileman tempatan.  Jadi, biarlah penganjuran tahun ini dibawa ke tahun hadapan, asalkan malam kemuncak itu nanti dapat sambutan hangat di kalangan artis dan dapat dipersembahkan dengan hebat,” ujar Naguib lagi.

Dalam masa yang sama, Naguib turut melihat penangguhan ini menyumbang kepada sesuatu yang lebih positif kerana ia memberi lebih banyak masa kepada panel juri untuk menilai lebih 70 filem yang layak bertanding.

“Memandangkan tahun ini kita mempunyai lebih 70 buah filem yang layak bertanding, penangguhan ini boleh memberi ruang kepada panel juri untuk membuat penilaian dalam tempoh masa yang bersesuaian. Selain itu, kita juga akan buat pembaharuan pada sistem penjurian di mana kita akan melantik juruaudit bertauliah untuk membuat audit terhadap permarkahan yang dibuat oleh barisan juri profesional. Pendekatan ini diambil kerana kita tidak mahu keputusan FFM 25 menjadi pertikaian,” ujar Naguib.

‘Merayakan Perak, Mengilhamkan Emas’ merupakan tema penganjuran FFM 25  bagi mengimbas kembali perjalanan dan pencapaian industri filem tanah air sepanjang lebih dua dekad.

gua

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s